English: I poop rainbows     Bahasa Melayu: Ku terfikir     Laman Peribadi

Jumaat, 4 November 2011

Kelas di waktu cuti: alamat cuti nak habis

Salam Satu Malaysia,

Aku baru sahaja tamat kelas tambahan yang diadakan waktu cuti ini, dan kini berasa lebih bersedia sedikit dari segi mental dan emosi untuk kembali menghadiri kuliah dan kelas amali minggu depan apabila cuti tamat.

Sebenarnya aku berasa susah hati dan keberatan untuk memulakan kelas semula. Inilah akibatnya menghabiskan cuti selama dua minggu duduk dalam bilik goyang kaki dan main permainan komputer. Terus lupa pada pelajaran dan tidak bersemangat untuk pergi ke kelas.

***
Pagi tadi nak bangun dari katil pun tidak rela; enggan sama sekali. Tetapi dengan memaksa diri, mengatasi lena dan kemalasan, berjaya juga bingkas bangun dengan perlahan-lahan, lalu menggaru kepala memikirkan persoalan yang terpenting, “Nak mandi tak ni sebelum pergi kelas?”.

Fikiran yang matang membisik, “mandilah, kan segar, elok sikit belajar kalau badan segar, otak pun cerdas”. Seolah-olah membantah, aku menggelengkan kepala sambil hati terbisik “tak payahlah mandi. Leceh je”.

Maka aku pun terus memulakan perjalanan ke kampus. Oh, terasa seperti sudah lama sekali tidak mendaki bukit dan berjalan selama 15 minit untuk sampai ke kampus. Mengah, tercungap-cungap dan berpeluh walhal sekarang ni dah semakin hampir dengan musim sejuk. Jelas sekali kelihatan kesan-kesan negatif akibat tidak bersenam.

Ku terasa kelas di waktu cuti itu satu seksaan yang tidak wajar. Ok, ini sebenarnya hiperbola. Tetapi mujurlah pensyarah yang mengajar hari ini bukannya pensyarah yang lazim mengajar kelas aku. Kalau tidak tentulah aku terasa seperti cuti selama dua minggu ini terus menjadi sia-sia kerana segala ketenangan dan rehat akan terus hilang, dicabuli syarahan encik tu yang terlalu laju sekali bercakap. Bahasa Perancis pula tu. Sambil menconteng papan hitam dengan lajunya. Sambil menantikan para siswa dan siswi yang hanya mampu ternganga memberikan respon yang bijak. Hakikatnya semua tak faham sepatah haram yang dia tutur.
***

Jadi, bersyukurlah, sekurang-kurangnya kelas tadi tidak menjadi satu kecacatan yang merosakkan cuti indah ini. Malah, sebenarnya menjadi satu persediaan untuk kembali belajar minggu hadapan. Lebih-lebih lagi, ulang kaji tadi memang sangat bermanfaat, memandangkan otak agak lengang setelah dua minggu menghadap permainan computer serta melayari internet tanpa henti. Agaknya saraf-saraf dan sel-sel otakku masih berkelah di mana-mana.

Kalau panjang sangat dan anda tidak terbaca entri ini, inilah rumusannya:


Alamak, cuti dah nak habis. :RM0.10(   <---- muka sepuluh sen.

2 ulasan:

nur berkata...

iya,aku setuju.saraf-saraf otakmu sedang berkelah.walaupun begitu,kamu soalan kamu kepada En.Pascal tadi sangat bagus.
nampaknya kamu benar-benar genius,tanpa perlu membatalkan perkelahan saraf-saraf itu,kamu masih mampu menghasilkan soalan yang bernas lagi berkrim

Nur Izzah Azhar berkata...

baiklah.kite harus berbicara bahasa melayu dengan sebaik-baiknya :p

Catat Ulasan

 
Copyright © Ku terfikir